IPOH – Kerajaan Negeri Perak dalam konteks pelaksanaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta GSA 1960) secara dasarnya tidak menyerahkan tanah kepada Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelupusan tanah dilaksanakan kepada peserta terlibat dan kerajaan negeri masih menerima hasil melalui Cukai Tanah Berulang.
“Pelaksanaan Akta GSA 1960 ini merupakan satu kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, di mana kerajaan negeri menyediakan tanah, manakala kerajaan Persekutuan melalui agensi seperti Felcra dan Felda menyediakan peruntukan pembangunan.
“Kerjasama ini bukan sahaja dapat menangani isu tanah terbiar, malah memastikan pemajuan tanah tersebut memberi pulangan ekonomi yang mampan kepada semua pihak serta mengoptimumkan sumber bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Razman Zakaria (PN-Gunong Semanggol) yang ingin tahu jumlah keseluruhan keluasan tanah negeri yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan di bawah peruntukan Akta GSA 1960 dan lokasi-lokasinya.
Saarani berkata, kawasan GSA di Perak yang diuruskan oleh Felcra dan Felda adalah seluas 35,214.18 hektar dengan pecahan seluas 7,190.65 hektar di bawah Felcra dan selebihnya 28,023.53 hektar di bawah pengurusan Felda.
“Bagi Felcra, tanah-tanah GSA telah dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kawasan GSA Ladang Berpenempatan Peserta dan Kawasan GSA Ladang Tiada Penempatan.
“Bagi Kawasan GSA Ladang Berpenempatan Peserta, terdapat enam penempatan dengan keluasan 4,953.20 hektar iaitu Rancangan Tanah Belia Lekir di Manjung (459.19 hektar) dan Rancangan Tanah Belia Nasaruddin Belia di Perak Tengah (286.61 hektar).
“Selain itu ialah Rancangan Tanah Belia Seberang Perak di Perak Tengah (2,535.68 hektar), Program Penempatan Semula Kampung (PPSK) Sungai Durian di Kinta (177.46 hektar), PPSK Serigala di Muallim (1,153.71 hektar) dan PPSK Changkat Sulaiman di Batang Padang (340.55 hektar),” katanya.
Bagi Kawasan GSA Ladang Tiada Penempatan pula, Saarani berkata, terdapat empat ladang dengan keluasan keseluruhan 2,237.45 hektar iaitu Projek Sungai Malau di Larut Matang dan Selama (195.73 hektar) dan Projek Kledang Sayong di Kuala Kangsar (271.47 hektar).
Katanya, turut termasuk ialah Projek Kampung Kurnia Fasa 1 dan 2 di daerah Manjung (764.20 hektar) dan Projek Nasaruddin Pemulihan di Perak Tengah (1,006.05 hektar).
“Bagi Felda pula, terdapat 17 kawasan Rancangan Felda dengan keluasan keseluruhan di empat daerah seluruh Perak yang memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada seramai 5,918 orang peneroka.
“Daerah Batang Padang mempunyai enam kawasan Rancangan Felda dengan keluasan 11,226.04 hektar, Kuala Kangsar lima kawasan (8,072 hektar), Muallim empat kawasan (6,133.04 hektar) dan Hulu Perak dua kawasan (2,592.45 hektar),” katanya. – KOSMO! ONLINE














