fbpx
TUNKU MAHKOTA ISMAIL berkenan berangkat merasmikan Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, Iskandar Puteri. Foto HRH Crown Prince of Johor

Pulangkan 25 peratus hasil cukai kepada Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Persekutuan digesa memulangkan sehingga 25 peratus hasil cukai kerajaan negeri selaras dengan peranannya sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, ketika ini pulangan hasil yang diterima Johor tidak setimpal dengan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Justeru saya ingin menggesa kerajaan Persekutuan bahawa sudah tiba masanya sebahagian hasil cukai yang dijana oleh Johor iaitu sekurang-kurangnya 25 peratus dipulangkan semula kepada negeri ini.

“Ini penting agar Johor dapat mengurus keperluan rakyat dengan lebih cekap tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada proses kelulusan yang begitu panjang,” titah baginda ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor yang ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Titah baginda lagi, kerajaan negeri perlu diberi ruang untuk berdikari demi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terus terpelihara.

Pada 22 Julai tahun lalu, baginda turut bertitah agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan.

“Menerusi pulangan cukai itu, Johor akan mempunyai keupayaan kewangan sendiri untuk membiayai keperluan penting rakyat tanpa perlu membuat permohonan berulang kali kepada Kerajaan Persekutuan dan menunggu lama untuk kelulusan,” titahnya.

Sementara itu, baginda turut memuji kecekapan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan negeri yang berjaya merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM110 bilion pada tahun 2025, iaitu tertinggi pernah direkodkan mana-mana negeri dalam sejarah.

“Saya bangga dengan pencapaian kerajaan negeri dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini. Dalam aspek ekonomi Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion, selain membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan baharu buat rakyat Johor dan Malaysia.

“Saya juga menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang telah memanfaatkan lebih 500,000 rakyat Johor tanpa mengira agama, keturunan mahupun latar belakang, saya berharap usaha ini diteruskan,” titahnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN