fbpx
Saarani bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Konflik Asia Barat: Perak sedia susun semula perbelanjaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Penyusunan semula perbelanjaan negeri menjadi antara pilihan kerajaan negeri ini bagi mendepani krisis ekonomi susulan perang di Asia Barat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, malah pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan belanjawan tambahan jika keadaan memerlukan.

Kata beliau, kerajaan negeri mempunyai pengalaman melaksanakan penjajaran semula kewangan ketika menghadapi bencana Covid-19 yang disifatkannya jauh lebih menderitakan rakyat.
“Saya telah bangkitkan perkara yang sama dalam mesyuarat Exco pada minggu lepas. Pada peringkat ini, kita sedang meneliti semua keperluan supaya sebarang keputusan nanti dapat menyelesaikan banyak masalah.

“Pengalaman kita semasa Covid-19, kita tidak membuat supplementary budget (belanjawan tambahan).

“Kita hanya buat penjajaran semula terhadap belanjawan yang sedia ada. Mana-mana projek pada pendapat kita tidak boleh dilakukan kerana peningkatan kos, barangkali kita jajarkan sahaja dalam bentuk perbelanjaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) mengenai langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan negeri akibat peperangan di Asia Barat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Dunia kini berdepan krisis rantaian ekonomi dan bekalan tenaga susulan serangan terhadap Iran oleh Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS) sejak 28 Februari lalu.

Namun Saarani berkata, pihaknya akan meneliti keperluan mengadakan persidangan khas negeri untuk melaksanakan belanjawan tambahan jika keadaan menjadi sangat kritikal dan memerlukan kerajaan berbelanja lebih.

Beliau melihat beberapa contoh yang boleh diambil seperti pemberian subsidi diesel kepada lori pengangkutan untuk bergerak bagi melaksanakan program kebajikan serta kempen jualan murah agar barangan yang dijual kekal pada harga rendah.

Mengenai impak terhadap pelaburan dalam negeri, katanya Perak kekal berdaya tahan dan tiada projek utama yang dibatalkan.

“Daripada sudut peluang, Malaysia termasuk Perak berpotensi untuk mendapat manfaat daripada fenomena peralihan rantaian bekalan apabila syarikat antarabangsa mencari destinasi pelaburan yang lebih stabil di rantau Asia,” katanya.

Tambah beliau, komitmen kerajaan menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 sendiri merupakan langkah untuk merombak struktur negeri agar berdaya tahan mendepani krisis global termasuk aspek keterjaminan makanan.

“Kita tidak mahu rakyat negeri Perak terlampau bergantung kepada sumber makanan yang diimport. Kita bercita-cita untuk menjadikan Perak pengeluar makanan,” katanya.

Beliau mahu semua pihak termasuk pembangkang dan penjawat supaya menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar bersatu untuk menangani krisis ekonomi yang bakal melanda susulan perang di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN