PETALING JAYA – Memasuki hari ke-12 Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Gunung Batu Putih, Perak, azan terus dilaungkan dilokasi sebelum tugas dimulakan.
Ia ibarat menjadi ‘kewajiban’ pasukan penyelamat setiap kali operasi SAR berlangsung tidak mengira situasi, termasuklah pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Ia dapat disaksikan menerusi video yang dikongsikan oleh JBPM Perak menerusi media sosial rasminya, Bomba Perak Official.
“Azan dilaungkan di lokasi SAR setiap Kali memulakan tugas pencarian oleh pasukan SAR,” kata kenyataan itu pada kapsyen.
Perkongsian itu meraih perhatian orang ramai yang meluahkan rasa sebak mendengar azan yang berkumandang di dalam hutan itu, malah juga tidak putus-putus mendoakan agar Jaslinda segera ditemui.
“Sebak dengar laungan azan. Ya Allah, kau permudahkanlah pencarian ini,” doa seorang pengguna.
“Bagus tu ikhtiar azan pula. Semoga dimudahkan semua pasukan yang terlibat dalam pencarian Jaslinda,” ujar pengguna lain.
“Semoga Allah SWT melindungi kalian. Sayu hati mendengar laungan azan dalam hutan,” komen Alice Qayyum.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, operasi SAR skala kecil melibatkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Perak sejak 24 Mei lalu bermula hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian ditutup semalam dan operasi berjalan pada skala kecil melibatkan bomba, malim gunung, komuniti Orang Asli setempat. – KOSMO! ONLINE














