DIKENALI sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja, Muar, Johor merupakan sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan pengalaman menyeluruh dan mengujakan.
Warisan sejarah dalam seni bina memukau, ditambah pula dengan aneka juadah tradisi yang menggamit selera menjadi tarikan dan identiti Bandar Muar.
Menurut Penolong Pegawai Daerah Muar, Muhammad Ismat Salleh, Bangunan Sultan Abu Bakar dan Masjid Sultan Ibrahim menjadi binaan tinggalan warisan yang masih terpelihara rapi.
“Bangunan ini masih berdiri megah sebagai simbol keindahan seni bina Islam yang menggabungkan elemen tempatan dan kolonial.
“Struktur binaan ini bukan sahaja mencerminkan kehalusan seni bina, malah menjadi saksi kepada perjalanan sejarah panjang bandar Muar yang terus dipelihara hingga ke hari ini,” katanya kepada CitaRasa.
Keindahan seni bina bangunan sekitar Muar juga sesuai buat mereka yang gemar merakam momen binaan bersejarah serta dijadikan sebagai lokasi bergambar.

Dalam pada itu, Muar juga menawarkan tarikan ekopelancongan yang mampu meninggalkan pengalaman alam semula jadi buat pengunjung.
Laman Bakau Parit Kassim boleh dijadikan sebagai destinasi untuk menambah pengetahuan tentang tanaman pokok bakau, habitat siput sedut dan panorama alam.
“Di sini, pengujung boleh mengetahui bagaimana proses penanaman pokok bakau, program pendidikan alam sekitar yang selalu menjadi pilihan pelancong tempatan dan luar negara terutama penggemar suasana hijau,” katanya.
Sementara itu, Tanjung Emas yang terletak di tepi Sungai Muar menjadi tumpuan untuk aktiviti riadah, bersiar-siar pada waktu petang atau menikmati panorama matahari terbenam.
Pengunjung juga boleh merasai pengalaman river cruise di Sungai Muar sambil menghayati keindahan Jambatan Sultan Ismail, di samping suasana bandar Muar dari perspektif berbeza.
“Suasana di sini memang ideal untuk keluarga atau mereka yang ingin lari daripada serabut bandar.
“Manakala taman rekreasi yang terletak bersebelahan dengan pusat bandar ini sering menjadi tumpuan keluarga, pengunjung luar dan pencinta fotografi,” ujarnya.

Selain itu, Kolam Air Panas Sungai Gersik yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Muar menawarkan pengalaman berendam air panas semula jadi secara percuma, sesuai untuk seisi keluarga.
Setelah meneroka pelbagai keindahan alam semula jadi, tidak lengkap kunjungan ke Muar tanpa menikmati kekayaan gastronomi bandar tersebut.
Menurut Muhammad Ismat, mi bandung Muar menjadi hidangan wajib cuba yang dimasak bersama kuah pekat serta udang segar, di samping sate Muar sebagai sajian sarapan.
“Di Parit Jawa, khususnya di Anjung Leka, pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan asam pedas yang terkenal dengan rasa yang ‘menyengat’ sambil menikmati panorama pantai.
“Tiram segar dari Parit Tiram turut menjadi tarikan utama, selain menawarkan keenakan makanan laut yang sukar ditandingi.
“Sebelum meninggalkan bandar ini, pelancong pasti ingin membawa pulang ole-ole istimewa seperti Kopi Muar dan mi siput sebagai kenang-kenangan,” katanya.














