LONDON – Coventry City mencipta detik bersejarah apabila kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mengakhiri penantian 25 tahun selepas meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu Blackburn Rovers, awal pagi tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan Coventry kekal dengan status selaku pendahulu Liga Kejuaraan selepas meraih 86 mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan.
Pengendali Coventry, Frank Lampard tidak dapat menyembunyikan emosinya selepas perlawanan terutama ketika menyaksikan lebih 7,000 penyokong bersorak selepas wisel penamat.
Menurut Lampard, tempoh lebih 25 tahun tidak beraksi dalam kancah EPL cukup lama terutama selepas pasukan berdepan titik terendah apabila beraksi dalam Liga Dua yang menjadi divisyen keempat carta bola sepak England pada tahun 2018.
“Ia sesuatu yang menakjubkan khususnya buat penyokong kami kerana apa yang mereka lalui sebelum ini termasuk kekecewaan yang berlarutan.
“Bukan mudah untuk mendapat slot automatik apabila bersaing dalam Liga Kejuaraan, tetapi semua pemain telah berikan yang terbaik sepanjang musim.
“Secara jujur, hati saya tersentuh dan tidak keterlaluan untuk saya katakan ini antara pencapaian terbaik karier, walaupun saya pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea,” katanya. – AGENSI














