LONDON – Manchester City kembali menghangatkan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membelasah Chelsea 3-0 di Stamford Bridge, kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola kini hanya enam mata di belakang pendahulu, Arsenal, sekali gus menghidupkan semula saingan kejuaraan musim ini.
Selepas aksi hambar pada babak pertama, City tampil berbeza sebaik bermula separuh masa kedua dengan menjaringkan tiga gol dalam tempoh 17 minit.
“Separuh masa kedua seribu kali lebih baik. Bukanlah kami bermain teruk sebelum itu, tetapi ada pemain yang tidak berada pada tahap sepatutnya,” kata Guardiola.
Kebangkitan City bermula menerusi jaringan Nico O’Reilly pada minit ke-51 sebelum Marc Guehi menambah gol kedua hasil gerakan Rayan Cherki.
Jeremy Doku melengkapkan kemenangan bergaya City pada minit ke-68 selepas merampas bola dan melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya buat City yang kini kembali meraih keyakinan menjelang aksi penting menentang Arsenal minggu depan.
“Mereka pasti datang dengan semangat tinggi. Mereka tidak akan memberikannya kepada kami begitu sahaja, jadi kami perlu rampasnya. Percayalah, kami akan bersedia,” kata Doku. – AGENSI














