KLANG – Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diugut untuk ditembak oleh seorang individu dipercayai bertindak sebagai ejen ketika sedang melaksanakan tugas rasmi.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya memandang serius ugutan itu dengan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang jenayah yang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
“Sebarang bentuk ugutan, intimidasi, gangguan atau cubaan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas adalah perbuatan yang serius dan tidak akan dikompromi.
“AKPS akan sentiasa mempertahankan keselamatan serta kebajikan pegawainya dalam melaksanakan amanah menguatkuasakan undang-undang dan melindungi keselamatan sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, AKPS memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Justeru, Nik Ezanee berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE















