KUANTAN – Seorang pelajar tingkatan empat dikhuatiri lemas selepas hilang ketika mencari kepah di Pantai Balok berhampiran Maahad Tahfiz Turath di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba menerima laporan mengenai kehilangan mangsa Luqman Kamil Jamaluddin, 16, kira-kira pukul 6.02 petang.
Katanya, operasi dilakukan bermula petang semalam sebelum disambung semula hari ini bagi mencari mangsa.
“Pasukan pencarian dipecahkan kepada tiga pasukan yang mana pasukan pertama melakukan pencarian di pesisir pantai manakala pasukan kedua menghala ke arah De Rhu Resort manakala pasukan ketiga ke Jeti Balok.
“Pada pukul 10.20 pagi pasukan bomba membuat selaman pertama pada jarak 50 meter daripada lokasi mangsa dikhuatiri lemas dan pada pukul 10.40 pagi selaman kedua dilakukan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya operasi dilakukan melibatkan 22 pegawai dan anggota bomba yang dibantu agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam, Maritim Malaysia dan juga Jabatan Sukarelawan
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andasura Rabu dalam hantaran Facebook berkata, mangsa berada di situ kerana terlibat dalam satu aktiviti sekolah.
Beliau memberitahu mangsa bersama dua lagi pelajar dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi muara Sungai Balok ketika air pasang.
Katanya, dua rakan mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala mangsa dikhuatiri lemas. – KOSMO! ONLINE














