fbpx
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan pemandu bas ekspres memandu dalam keadaan berbahaya.

Bas ekspres dipandu bahaya, APAD keluar surat tunjuk sebab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada sebuah syarikat bas ekspres susulan insiden tular membabitkan pemanduan berbahaya yang mengancam keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya.

APAD dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil terhadap bas bernombor pendaftaran BSB 4999 milik Billion Stars Express Sdn. Bhd., yang kini sedang disiasat.

Menurut kenyataan itu, sebagai pemegang Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam, syarikat berkenaan disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 22(1)(b)(iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] berkaitan kelakuan pemandu dan konduktor.

“Selain itu, siasatan turut melibatkan Seksyen 23(1)(b) iaitu kegagalan pengendali berlesen dan pekerjanya memberikan keutamaan tertinggi kepada keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya.

“Selain Perkara 7, Syarat Am Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) iaitu pengendali berlesen bertanggungjawab memastikan pekerja dan pemandu sentiasa menjaga tingkah laku semasa beroperasi.” katanya hari ini.

Sehubungan itu, APAD memaklumkan bahawa tindakan lanjut termasuk penggantungan atau pembatalan lesen boleh diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana syarat Lesen Pengendali berdasarkan Seksyen 27 Akta 715.

Dalam masa sama, APAD menyeru orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang oleh pengendali atau pemandu melalui saluran rasmi yang disediakan bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan penumpang mendakwa pemandu bas berkenaan menjerit ketika memandu selain kerap membrek secara mengejut sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang.

Dakwaan itu turut menyebut dua penumpang meminta bas berhenti untuk ke tandas, namun pemandu tidak berhenti walaupun mereka mendakwa menunggu hampir dua jam, manakala pemandu kedua yang dikejutkan pula didakwa enggan mengambil alih pemanduan dan memilih untuk terus tidur.

Kelmarin, media melaporkan, seorang pemandu bas ekspres digantung tugas serta-merta susulan video tular yang mendakwa dia memandu dalam keadaan tidak stabil.

Billion Stars Express dilapor berkata, pihaknya memandang serius insiden melibatkan bas miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN