LONDON – Pengurus Chelsea, Liam Rosenior tidak pernah putus harapan kepada pemainnya untuk cuba mendapatkan tiga mata penting pada pertemuan dengan Manchester United di Stamford Bridge, awal pagi esok.
Menurutnya, harapan untuk kembali memperoleh kemenangan masih ada dan kini mereka hanya perlu mengelak daripada terpengaruh dengan perkara atau persepsi luar padang yang boleh menggugat prestasi.
“Kami memberikan fokus kepada apa yang kami boleh kawal iaitu prestasi pasukan. Kami melakukan analisa pasukan sendiri dan lawan, seterusnya kami kena lakukan kerja dengan tepat sekali gus dapat dipraktikan semasa perlawanan.
“Pasukan perlu kekal bersatu, kami semua tahu apa yang kami mahukan dan ia bukan lagi menjadi persoalan. Apa yang tidak pernah berubah adalah kami memiliki pemain terbaik yang mampu menghadirkan perbezaan.
“Jadi, dengan apa yang kami miliki sekarang, saya menjangkaan kami mampu menyerlahkan prestasi terbaik pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Rosenior juga melihat perlawanan menentang United menjadi peluang keemasan buat The Blues mengukuhkan kedudukan sekali gus berpeluang mendapatkan slot ke saingan Eropah musim depan.
“Kami perlu manfaatkan kelebihan sekarang kerana kami semakin kesuntukan masa. Kami kena serlahkan inisiatif kami sendiri dengan menyerlahkan permainan terbaik,” katanya. – AGENSI














