fbpx
Dua lelaki menunggang motosikal sambil melakukan ‘wheelie’ ditahan polis. Foto PDRM

Dua remaja buat ‘wheelie’ dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Aksi berani mati dua lelaki menunggang motosikal sambil melakukan ‘wheelie’ mengundang padah apabila mereka dicekup polis dalam Op Samseng Jalanan, awal pagi hari ini.

Dalam operasi sekitar pukul 1 hingga 5 pagi di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Dataran Nilai, dua suspek berusia 20 dan 16 tahun itu dikesan melakukan aksi berbahaya termasuk mengangkat tayar hadapan dan melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kedua-duanya didapati tidak memiliki lesen memandu sah, malah salah sebuah motosikal digunakan mempunyai cukai jalan yang sudah tamat tempoh sejak 2020.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya kepada pemberita.

Dalam operasi sama, Johari berkata, polis turut menyita dua motosikal terbabit dan mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan trafik antaranya lesen kenderaan tamat tempoh, ubah suai struktur kenderaan dan pelbagai kesalahan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN