BACHOK – Seorang kontraktor pemasangan jubin direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini kelmarin.
Perintah reman yang bermula hari ini hingga Rabu depan terhadap lelaki yang berusia 52 tahun dan merupakan majikan kepada mangsa itu dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bachok di sini dengan menaiki trak polis kira-kira pukul 9.32 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek ditahan di sekitar daerah ini semalam dan lelaki itu merupakan majikan kepada mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
“Mangsa bekerja sebagai pemasang jubin dengan suspek. Lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, selepas lebih 17 jam bertarung nyawa, seorang lelaki OKU lembam akhirnya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala apabila dipercayai dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini kelmarin.
Allahyarham Muhammad Zakir Fikry ditemui terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas di Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kira-kira pukul 12.55 malam semalam.
Adik mangsa, Nur Aina, 18, berkata abangnya, yang bekerja sebagai pemasang jubin sebelum ini tidak pernah bermusuh dengan sesiapa termasuk rakan-rakannya.
Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa mangsa kira-kira pukul 7.30 pagi semalam selepas melihat gambar kecederaan abangnya yang ditunjukkan oleh ibu saudaranya menerusi telefon bimbit.
Menurutnya, arwah abangnya sebelum ini tinggal di rumah majikannya dan kali terakhir dia berjumpa mangsa kira-kira seminggu lalu.
“Sebelum kejadian, arwah dikatakan meminjam motosikal majikannya untuk ke rumah rakan bagi tujuan mengambil rim motosikal. Majikannya mendapati arwah tidak pulang meskipun sudah pukul 3 pagi.
“Majikannya menghubungi saya untuk mengetahui lokasi abang. Beberapa jam kemudian, saya dimaklumkan bahawa arwah abang ditemui terbaring dengan kesan darah pada mukanya di Kampung Padang Lati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














