KULIM – Biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU), namun kekurangan diri tidak membataskan mereka untuk belajar berdikari dan mempelajari selok belok perniagaan termasuk menjadi pelayan.
Guru Program Kemahiran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Bengkel Bakeri dan Kek Rumah Amal Kulim, Mohamad Amin A. Bakar berkata, pihaknya mewujudkan sebuah kafe sarapan pagi dikenali Seroja Cafe sebagai platform latihan praktikal.
Katanya, pelajar terbabit terdiri daripada mereka yang telah tamat pendidikan asas sebelum mengikuti latihan di bengkel kemahiran seperti bakeri, pertanian dan kraftangan.
“Di sini, setiap pelajar mempunyai tugasan tertentu seperti menjaga kaunter bayaran, membancuh minuman serta membantu melayan pelanggan di kafe,” katanya di sini.
Katanya, walaupun memerlukan pendekatan khas dan kesabaran tinggi, pelajar OKU sebenarnya mampu melaksanakan tugasan dengan baik dan mampu mengikuti arahan diberikan, malah menunjukkan perkembangan positif.
“Untuk mengajar mereka memang memerlukan kesabaran kerana sesuatu arahan perlu diulang beberapa kali supaya mereka lebih mudah memahami dan mengingatinya.
“Kita juga tidak boleh meninggikan suara atau memarahi mereka jika melakukan kesilapan. Sebaliknya, mereka perlu ditegur dengan baik agar lebih yakin untuk belajar,” katanya.
Mohamad Amin berkata, penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti termasuk penyediaan tempahan kuih raya membuktikan mereka mampu memberikan komitmen dan menyumbang tenaga jika diberi peluang.














