KUALA LUMPUR – Semua pembangunan baharu masjid dan surau di negara ini perlu dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) serta warga emas bagi memastikan institusi ibadat lebih inklusif dan mudah diakses.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, ketetapan itu selaras dengan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Orang Kurang Upaya 2008, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.
Menurut beliau, majoriti masjid dan surau berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kini telah menyediakan kemudahan asas untuk golongan berkenaan.
“Kerajaan memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf kemudahan sedia ada melalui peruntukan penyelenggaraan, dana masjid, sumbangan dan bantuan yang diselaraskan pihak berkuasa agama negeri.
“Sebahagian masjid dan surau turut menyediakan tempat letak kereta khas, tempat wuduk, tandas, laluan serta kerusi solat, al-Quran Braille, kerusi roda dan mesin Automated External Defibrillator (AED),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai cadangan mewujudkan Dana Mesra Warga Emas bagi membantu masjid dan surau menyediakan kemudahan seperti laluan kerusi roda, tandas mesra OKU serta ruang rawatan asas.
Marhamah berkata, kerajaan akan terus menambah baik kemudahan tersebut secara berperingkat sebagai persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2030.
Katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang menilai aspek kemudahan mesra OKU dan warga emas bagi menggalakkan pengurusan masjid meningkatkan prasarana secara berterusan.
“Pelaksanaan Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU Muslim 2024-2028 turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti warga masjid dan penglibatan komuniti OKU sebagai rakan strategik,” katanya.
Mengulas cadangan mewajibkan pemasangan mesin AED di masjid dan surau, beliau berkata, perkara itu belum diwajibkan ketika ini namun kerajaan mengambil perhatian serius dan akan menelitinya bersama agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE














