LONDON – Polis melancarkan operasi memburu suspek selepas seorang peminat Arsenal dibelasah hingga mati di Uganda pada hari kelab bola sepak itu meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, lapor akhbar The Express
Polis berkata, suspek dalam insiden pada Ahad lepas itu dipercayai penyokong kelab Manchester United.
Arsenal yang diterajui Mikel Arteta mengungguli gelaran tersebut buat kali pertama selepas kemarau selama 22 tahun dan menamatkan musim dengan bergaya apabila mengalahkan Crystal Palace 2-1.
Kejuaraan Arsenal disambut meriah oleh para peminat di seluruh Uganda dengan kelab-kelab bola sepak Inggeris mempunyai peminat yang ramai di negara Afrika itu.
Bagaimanapun, seorang pemandu teksi motosikal berumur 34 tahun dikenali sebagai Denis meninggal dunia di ibu kota, Kampala susulan satu pergaduhan.
Denis dilaporkan sedang menonton perlawanan tersebut di kediamannya di Bakuli, kata jurucakap polis Kampala, Rachel Kawala.
“Insiden berlaku kira-kira pukul 6.30 petang Ahad lalu. Laporan awal menunjukkan Denis yang merupakan penyokong Arsenal FC terlibat dalam pertengkaran dengan seorang lelaki.
“Namanya ialah Musiramu dan dia dikatakan peminat Manchester United. Pertengkaran mereka bertukar menjadi pergaduhan fizikal yang mana suspek memukul kepala mangsa.
“Denis rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kami sedang giat memburu suspek,” katanya. – AGENSI














