fbpx
Kumar

Geng samun ditembak mati sasar rumah dekat lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Polis percaya sebuah kumpulan samun bersenjata yang aktif di beberapa kawasan hotspot sekitar Selangor dan Melaka berjaya dilumpuhkan susulan kematian dua ahlinya dalam kejadian tembak-menembak di Bandar Seri Putera di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 10 ahli dan bergerak aktif melakukan samun bersenjata di beberapa kawasan hotspot.

Menurut beliau, modus operandi kumpulan berkenaan adalah memilih kediaman berhampiran laluan utama sebelum melarikan diri dengan pantas menggunakan lebuh raya.

“Mereka juga memilih kawasan yang kurang mempunyai kamera televisyen litar tertutup (CCTV) bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa.

“Antara kawasan yang dikenal pasti menjadi sasaran kumpulan ini ialah Sungai Buloh, Kajang, Bangi, Banting dan beberapa lokasi lain di Selangor selain Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua lelaki dipercayai ahli kumpulan samun bersenjata ditembak mati selepas bertindak melepaskan tembakan ke arah polis dalam kejadian di Jalan Persiaran Seri Putera, Bandar Seri Putera kira-kira pukul 9.10 malam tadi.

Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D9 JSJ Bukit Aman menjalankan rondaan cegah samun di sekitar Kajang dan Bangi sebelum terserempak sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, polis kemudian mengekori kenderaan itu sejauh kira-kira 500 meter sebelum mengarahkan suspek berhenti.

“Bagaimanapun, suspek enggan berhenti dan terus memecut laju sebelum berjaya dipintas di tepi jalan.

“Sebaik dipintas, suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah pasukan polis menyebabkan pihak polis terpaksa berbalas tembakan,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk revolver, enam butir peluru, tiga kelongsong peluru, empat bilah parang serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Tambah beliau, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 25 dan 46 tahun itu mempunyai kira-kira 30 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan.

“Kita percaya masih terdapat beberapa lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN