SUKAN sepak takraw negara menerima suntikan besar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi memperkukuh pembangunan serta penganjuran sukan tersebut.
Daripada jumlah itu, RM2 juta diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, manakala baki RM1 juta lagi disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memastikan kesinambungan pembangunan sukan tradisi negara itu.
Menurut Anwar, peruntukan khas tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan, malah memberi keutamaan kepada kebajikan pemain serta kelangsungan operasi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan akademi kebangsaan.
“Saya setuju untuk memastikan kebajikan pemain dijaga. Peruntukan ini sebahagiannya untuk meningkatkan kualiti latihan, makan minum, keselesaan serta keperluan asas mereka,” katanya semasa Majlis Perasmian Kompleks Sepaktakraw Malaysia, di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru semalam.
Beliau menjelaskan, dana tersebut turut merangkumi sokongan terhadap perjalanan persatuan selain memperkukuh fungsi Akademi Sepak Takraw Malaysia sebagai pusat pembangunan utama negara.
“Keduanya untuk menyokong perjalanan persatuan dan ketiganya untuk akademi. Atas sebab itu, saya meluluskan RM2 juta sempena pelancaran Akademi Sepak Takraw Malaysia,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan menyifatkan bantuan tersebut sebagai pemangkin penting dalam merancang pembangunan jangka panjang sukan itu.
“Alhamdulillah, ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan untuk melihat sepak takraw terus berkembang dan mencipta kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya.
Tambah Sumali, dana tersebut akan dimanfaatkan secara menyeluruh termasuk pembangunan akar umbi, pengurusan kompleks serta penganjuran kejohanan sekali gus memastikan ekosistem sepak takraw negara terus kukuh dan kompetitif.














