fbpx
PSM mempertimbangkan untuk menghantar pemain muda dan barisan pelapis ke Piala Raja Thai 2026 sebagai usaha memperkukuh pembangunan jangka panjang skuad sepak takraw negara.

PSM timbang hantar muka baharu ke Piala Raja Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEKUTUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedang mempertimbangkan untuk menghantar pemain muda dan barisan pelapis yang tidak beraksi pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 ke Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2026 di Thailand, Ogos depan sebagai persiapan jangka panjang skuad negara.

Pengurus skuad sepak takraw kebangsaan, Datuk Abu Jimi Samat berkata, cadangan tersebut sudah dibincangkan di peringkat Exco PSM, namun keputusan muktamad masih belum dibuat memandangkan satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kami memang ada bincang di peringkat Exco PSM dan saya sendiri turut berbincang dengan jurulatih untuk kita hantar pemain muda ataupun pemain yang tidak bermain dalam Piala Dunia ke King’s Cup (Piala Raja Thai).

“Bagi saya, lebih baik kita hantar pemain baharu untuk dapatkan pengalaman bermain di sana kerana mereka juga berada dalam program podium walaupun tidak disenaraikan dalam Piala Dunia,” katanya.

Menurut Abu Jimi, langkah tersebut bukan bermakna Malaysia mahu menurunkan skuad kedua, sebaliknya memberi peluang kepada pemain pelapis merasai tekanan sebenar beraksi di gelanggang Thailand yang terkenal dengan suasana cukup mencabar.

Beliau mengakui situasi di Piala Raja Thai sememangnya berbeza kerana Thailand sentiasa berusaha mempertahankan kejuaraan mereka dan Malaysia sendiri sudah lama memahami cabaran tersebut setiap kali turun beraksi di sana.

“Apa yang berlaku pada final Piala Dunia baru-baru ini sebenarnya perkara biasa di King’s Cup sebab Thailand memang mahu pertahankan pingat emas mereka dan tidak mahu lepaskan kepada negara lain.

“Malaysia pula memang memahami situasi itu. Kalau kita bermain di Thailand dan berlaku perkara-perkara tertentu ketika perlawanan, kita tetap terima dan teruskan bermain,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN