fbpx
Perejam negara, Azlan Alias melakukan libasan ketika aksi Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF baru-baru ini.

Ketegasan ISTAF jadi penentu maruah takraw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN skuad sepak takraw negara muncul juara berganda pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 sepatutnya menjadi titik kemuncak kebangkitan Malaysia di pentas antarabangsa selepas sekian lama dibayangi dominasi Thailand.

Namun, kemeriahan kejohanan itu sedikit tercalar apabila kontroversi tercetus membabitkan tindakan skuad Thailand yang enggan meneruskan permainan pada aksi final acara regu berpasukan lelaki selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil.

Insiden tersebut bukan sahaja mengundang reaksi pelbagai pihak, malah membuka perdebatan besar mengenai soal profesionalisme, semangat kesukanan dan ketegasan badan induk antarabangsa, Persekutuan

Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dalam mengendalikan isu disiplin.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan menegaskan, tindakan meninggalkan gelanggang ketika perlawanan masih berlangsung tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan besar terhadap imej sukan itu sendiri.

“Keputusan pengadil adalah muktamad. Kalau tidak puas hati, ada prosedur bantahan. Tetapi untuk berhenti bermain, itu bukan tindakan yang wajar dalam kejohanan bertaraf dunia,” katanya.

Menurutnya, PSM sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah dengan mengemukakan aduan rasmi kepada ISTAF bagi membolehkan siasatan secara telus dan profesional.

Katanya, PSM turut melihat tindakan beberapa pegawai tertinggi Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) turun ke gelanggang ketika perlawanan berlangsung sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, pengurus skuad negara, Datuk Abu Jimi Samat memaklumkan bahawa ISTAF kini sedang meneliti aduan lengkap daripada PSM sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap Thailand.

Menurutnya, terdapat kemungkinan tindakan disiplin dikenakan sama ada terhadap individu ataupun persatuan bergantung kepada hasil siasatan badan induk tersebut.

“Kalau kesalahan itu melibatkan individu, mungkin pemain digantung. Tetapi kalau melibatkan pengurusan dan pentadbiran persatuan, tindakan boleh dikenakan kepada Persatuan Sepak Takraw Thailand sendiri,” jelasnya.

Perkembangan itu secara tidak langsung turut menimbulkan persoalan mengenai status penyertaan Malaysia pada Kejohanan Piala Raja Thai pada Ogos depan, terutama jika ketegangan antara kedua-dua negara terus berlarutan.

Apa yang pasti, kontroversi di pentas Piala Dunia kali ini memberi isyarat jelas bahawa sukan sepak takraw kini semakin mendapat perhatian antarabangsa, sekali gus menuntut tahap profesionalisme lebih tinggi daripada semua pihak termasuk pemain, pegawai dan badan pentadbir.

Dalam keadaan sukan itu sedang berkembang dengan liputan global yang semakin luas, ketegasan ISTAF dalam membuat keputusan bukan sahaja penting untuk menyelesaikan isu semasa, malah bakal menjadi penanda aras disiplin dan kredibiliti sepak takraw dunia pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN