EPISOD duka dalam kempen Piala Dunia Sepak Takraw 2026 perlu segera dilupakan regu negara kerana selepas ini pasukan negara akan menghadapi Piala Raja Thai yang berlangsung pada Ogos depan sebelum memulakan misi menakluk Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menegaskan pemain negara tidak boleh terus dibelenggu kekecewaan selepas kegagalan mempertahankan kejuaraan acara regu sejurus tumbang 0-2 kepada Myanmar di separuh akhir.
Tegas Sumali, kekalahan itu perlu dijadikan pengajaran berharga untuk mengembalikan semula semangat terutama misi di temasya Sukan Asia 2026.
“Pada pandangan saya, mereka akan bangkit semula. Semua pemain Malaysia yang mungkin sebelum ini rasa sedikit kecewa atau tidak beraksi dengan baik, mereka akan kembali kepada prestasi asal.
“Kita sudah mula melihat mereka mendapat rentak dalam acara regu berpasukan. Saya tekankan kepada pemain, lupakan kekecewaan lalu dan kembali fokus kepada tahap permainan sebenar yang kita mahukan,” katanya.
Terdahulu, trio negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam gagal menampilkan aksi sebenar sebelum tunduk straight set 9-15, 10-15 kepada Myanmar.
Sumali berkata, kritikan peminat terhadap tahap kecergasan dan prestasi pasukan perlu dijadikan peringatan bahawa tiada lagi ruang untuk pemain terus mengulangi kelemahan sama, terutama masalah hilang fokus dan melakukan kesilapan mudah pada awal permainan.
Dalam masa sama, beliau memberi bayangan bahawa rombakan kecil dalam pasukan bukan sesuatu yang mustahil sekiranya prestasi semasa masih gagal memenuhi sasaran ditetapkan.
“Insya-Allah, kita akan lihat prestasi mereka dalam Piala Dunia terlebih dahulu. Jika perlu buat sedikit rombakan, kita akan lakukan sebelum ke Sukan Asia nanti. Rata-rata pemain kita ketika ini seimbang dan setiap regu ada kekuatan masing-masing. Apa yang penting, mereka kena sedia dalam apa jua keadaan dan jika prestasi tidak mantap, kita kena cepat masukkan pemain simpanan kita,” katanya.
Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 11 Ogos nanti bakal menjadi medan awal buat skuad negara membuktikan kebangkitan mereka sebelum mengharungi cabaran lebih besar di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.














