fbpx
TEKONG negara, Syahir Rosdi mengalami kecederaan ketika menentang pasukan Jepun pada peringkat suku akhir acara regu berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa - SHIDDIEQIIN ZON

Syahir Rosdi dihimpit kecederaan, dijangka berehat tiga bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD sepak takraw negara menerima tamparan hebat apabila tekong berbisa, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi dihimpit kecederaan tendon yang dijangka memerlukan tempoh pemulihan sehingga tiga bulan.

Tekong negara itu mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 menentang Jepun malam kelmarin, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap peluangnya untuk turun beraksi ke temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Kecederaan yang menimpa Syahir menyebabkan dia kini berlumba dengan masa untuk pulih sepenuhnya sebelum temasya berprestij itu membuka tirai pada penghujung September depan.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun bagaimanapun menjelaskan tempoh sebenar pemulihan masih bergantung kepada keputusan imbasan ultrasound bagi menentukan tahap kecederaan pemainnya itu.

“Kita syak ada sedikit koyakan pada tendonnya. Sebaik keputusan ultrasound diperoleh, barulah kita boleh menyusun program pemulihan yang tepat termasuk kemungkinan rawatan PRP,” katanya.

Menurut beliau, tempoh pemulihan boleh menjadi lebih singkat atau panjang bergantung kepada tahap serius koyakan yang dialami pemain berkenaan.

“Biasanya tempoh pemulihan antara sebulan hingga tiga bulan jika koyakan itu tidak besar, tetapi buat masa ini kita belum dapat sahkan tahap sebenar kecederaan,” jelasnya.

Syahir terpaksa diketepikan pada baki saingan Piala Dunia selepas dikeluarkan pada set pertama ketika menentang Jepun. Ketiadaannya menyaksikan dia terlepas aksi separuh akhir menentang Indonesia serta perlawanan akhir bertemu Thailand.

Tempatnya diisi oleh Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, manakala regu kedua negara terus menggalas cabaran untuk memastikan momentum pasukan kekal kukuh.

Gandingan Farhan Adam, Mohamad Azlan Alias dan Haziq Hairul Nizam turut memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia terus bersaing di pentas dunia.

Ahmad Jais tetap berharap kecederaan Syahir tidak serius kerana pemain itu dianggap antara tonggak utama skuad negara dalam misi memburu kejayaan di Sukan Asia nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN