PUTRAJAYA- Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan supaya memperhalusi mekanisme penugasan dan perundangan anggota khususnya bagi aspek penguatkuasaan di stesen minyak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perincian itu penting berikutan tugas hakiki pasukan keselamatan sebagai pasukan kawalan keselamatan negara.
Katanya, keperluan itu berikutan premis berkenaan juga menjadi pintu kepada aktiviti penyeludupan.
“Buat masa ini, sebanyak 4,000 stesen minyak dikenalpasti beroperasi di sekitar sempadan negara.
“Bagaimanapun, kita bukan nak jaga 4,000 stesen minyak. Kita nak jaga 170 stesen minyak sahaja yang dekat dengan sempadan.
“Pertama, kita kenal pasti dahulu apa maksud penugasan. Akta mana nak digunapakai dan pasukan mana yang kita nak tugaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.
Katanya, beliau juga mengesyorkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya mendapatkan nilai jualan minyak setiap stesen minyak berdekatan dengan sempadan.
Saifuddin berkata, jika nilai jualan di stesen minyak berkenaan meningkat secara tiba-tiba maka, aspek penguatkuasaan perlu ditumpukan kepada stesen minyak berkenaan.
“Kalau nilai jualan itu mencanak tak masuk akal dan tak munasabah maka, fokus penguatkuasaan dibuat disitu terus.
“Kita tingkatkan pengawasan di situ. Itu maknanya kerja secara bijak berdasarkan data sedia ada dan data itu mesti dikongsi oleh kementerian yang berkenaan sebab tugas kita hanya membantu,” katanya.
Katanya, aspek penguatkuasaan itu akan diteruskan selagi konflik dan krisis tenaga ini berlarutan dengan dengan penilaian dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan di lapangan.
Jelasnya lagi, pelaksanaan operasi juga akan mengambil kira keupayaan semasa pasukan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan anggota ketika menjalankan tugas di lapangan. – KOSMO! ONLINE














