SHAH ALAM – Taktik licik dua lelaki menyeleweng diesel subsidi menggunakan ‘fleet card’ terbongkar selepas ditahan ketika membuat pengisian pada lori bonded di sebuah stesen minyak di Jalan Batu Tiga Lama di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, kedua-dua suspek tempatan berusia 45 tahun merupakan pemandu dan kelindan lori.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Hanizam Kechek berkata, hasil pemeriksaan menemukan enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu dengan beberapa daripadanya berisi diesel.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan beberapa keping ‘fleet card’ digunakan bagi membeli bahan api tersebut.
“Hasil semakan mendapati satu ‘fleet card’ digunakan tidak sepadan dengan nombor pendaftaran lori ditahan, sekali gus dipercayai berlaku salah guna kemudahan berkenaan,
“Anggaran keseluruhan diesel subsidi yang diselamatkan adalah kira-kira 2,000 liter bernilai RM10,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan dan membawa barang kawalan berjadual itu.
Tambahnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM120,000 dan kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Hanizam memaklumkan sebanyak 2,233 pemeriksaan dijalankan di seluruh Selangor menerusi Ops Tiris 4.0 bermula 16 Mac hingga semalam.
“Sejumlah 52 kes telah dihasilkan dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM1.2 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE














