MELAKA – Pengaruh vape mushroom dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak mengelar leher dan kedua-dua tangannya dalam kejadian di rumah keluarganya di Banda Hilir, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal mendapati, bahan terlarang itu disyaki diperoleh daripada teman lelakinya berusia 17 tahun yang juga pelajar tingkatan empat.
Ujarnya, kejadian dilaporkan berlaku selepas remaja terbabit berang apabila ibu angkatnya melarang untuk keluar bersama kekasihnya itu.
“Mangsa dikatakan masuk ke bilik tidur kira-kira pukul 10.33 malam sebelum mengelar kedua-dua tangan dan leher menggunakan pisau.
“Ibu angkatnya mendakwa anaknya itu berada dalam keadaan tidak terkawal akibat pengaruh vape mushroom,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, gadis berkenaan telah menerima rawatan di Hospital Melaka dan dilaporkan dalam keadaan stabil sebelum dibenarkan keluar wad semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa yang sudah tidak bersekolah dipercayai mula terlibat dengan tabiat menghisap vape atau rokok elektronik sejak Februari lalu selepas berkenalan dengan teman lelakinya.
“Ibu angkatnya mendakwa dia turut bertindak merampas peranti vape berkenaan bagi menghalang remaja itu terus terlibat dengan bahan terlarang.
“Siasatan lanjut termasuk mendapatkan keterangan keluarga terbabit yang berusia antara 14 hingga 75 tahun sedang dilakukan,” katanya.
Tambahnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE














