KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan individu warga tempatan dan asing selepas menyerbu sebuah bilik hotel di ibu negara susulan kematian seorang lelaki, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral sebelum disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital (BID).
Menurut beliau, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Mayat mangsa telah dihantar ke HKL untuk dibedah siasat pada pukul 9.30 pagi dan proses itu selesai kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Setakat ini punca kematian masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik hotel terbabit kira-kira pukul 4 pagi.
“Hasil serbuan, polis menahan lapan individu terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.
“Turut dirampas satu peket plastik lutsinar disyaki ketamin seberat 1.5 gram dan tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram,” ujarnya.
Katanya, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














