JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas ditanduk seekor kerbau untuk ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mangsa merupakan lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia, malam semalam ketika mendapatkan rawatan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi menyebabkan mangsa cedera lalu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah.
“Kira-kira pukul 11 malam mangsa yang merupakan warga tempatan disahkan meninggal dunia di hospital. Hasil laporan bedah siasat terhadap mangsa mendapati sebab kematian adalah kecederaan saluran darah (vaskular) kaki kiri.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut terkesan dengan hantaran tular yang dimuat naik melalui media sosial Facebook akaun ‘Dari D9 ke tahanan tanpa bicara’ berkait seorang lelaki warga tempatan ditanduk seekor kerbau untuk ibadah korban.
“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada semalam lebih kurang pukul 2 petang di kawasan Batu 19, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram.
“Mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun yang mengalami kecederaan patah tulang rusuk bahagian kiri apabila seekor kerbau untuk ibadah korban tiba-tiba bertindak liar dan menanduk mangsa.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail. Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini,” katanya lagi.
Tambahnya, kedua-dua kejadian tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.
Jelasnya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes ini. – KOSMO! ONLINE














