LUMUT – Seorang remaja maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan berhampiran stesen minyak Petronas Changkat Chermin di Ayer Tawar, Sitiawan awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.15 pagi.
Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dan BBP Seri Iskandar dikerahkan ke lokasi kejadian susulan menerima panggilan berkenaan.
“Berlaku kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Honda CRV dan Perodua Kancil.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa tersepit di dalam Perodua Kancil, dengan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah.
Beliau berkata, mangsa pemandu Honda CRV terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketua operasi seterusnya mengarahkan anggota mengaplikasikan konsep SAVER dengan menggunakan peralatan khas ‘cutter & spreader’ bagi membuat regangan dan stretcher untuk mengeluarkan mangsa.
“Kedua-dua mangsa diperiksa oleh pegawai perubatan KKM dan mangsa lelaki yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM bagi menerima rawatan lanjut.
“Manakala mangsa wanita yang telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














