fbpx
Mayat mangsa dibawa keluar dari kolam oleh anggota bomba.

‘Sayu tengok jasad anak kecil terapung dalam kolam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – “Saya nampak ayah dan kakak kanak-kanak autistik itu keluar mencarinya di sekitar perumahan pagi tadi, tak sangka budak itu hilang. Terkejut bila tahu mayatnya dijumpai dalam kolam.”

Demikian cerita Muhammad Firdaus Abdullah, 19, ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Nagasari di Kepala Batas, di sini hari ini.

Katanya, dia sayu melihat mayat mangsa dalam keadaan terapung di bahagian tepi kolam.

“Mangsa pakai baju biru, memang sedih sebab mangsa masih kecil. Saya tak boleh bayangkan perasaan ahli keluarganya,” katanya.

Menurutnya, rumah mangsa terletak di perumahan sama iaitu kira-kira 500 meter dari kawasan kolam tersebut.

“Saya tidak tahu bagaimana kanak-kanak itu boleh pergi ke kolam itu, cuma yang saya tahu pagar di kolam takungan tersebut ada yang sudah berlubang.

“Kita boleh ke kolam itu menerusi surau yang terletak betul-betul di tepi kolam takungan. Di situ ada pagar berlubang, ada penduduk yang memancing di situ,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini, dia pernah nampak kanak-kanak terbabit bermain di taman permainan di situ.

“Taman permainan itu terletak berhampiran surau dan kolam, jadi dia mungkin sudah biasa dengan kawasan itu,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak perempuan autistik yang dilaporkan hilang sejak pukul 8 pagi tadi ditemukan terapung di kolam takungan di PPR Taman Nagasari, petang ini.

Mayat mangsa, Mya Khadeeja Suraidi, 6, dibawa keluar dari kolam oleh anggota bomba kira-kira pukul 4.50 petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN