fbpx
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin ketika berangkat melawat ke Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur. Foto ACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICE

Sultan Selangor hargai usaha Khazanah pulihara Bangunan Sultan Abdul Samad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan terhadap Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam membangunkan dan memulihara semula Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.

Sultan Sharafuddin bertitah, usaha itu bukan sahaja memelihara warisan sejarah negara, malah mengangkat kembali martabat mercu tanda yang amat signifikan dalam lipatan sejarah tanah air.

Baginda mengambil maklum bahawa terdapat perbincangan dan perdebatan berhubung kos yang terlibat dalam kerja-kerja pemulihan ini.
“Namun, beta ingin menegaskan bahawa sekiranya usaha seperti ini tidak dilaksanakan, maka warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai ini berisiko untuk hilang dan lenyap begitu sahaja.

“Beta bimbang akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, pernah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan beberapa bangunan bersejarah penting Selangor di Kuala Lumpur yang semakin terabai pada 2018 atau 2019, sebelum ini.

Tegas Sultan Sharafuddin, Bangunan Sultan Abdul Samad mempunyai makna yang sangat signifikan kepada kerana baginda pernah berkhidmat di bangunan ini pada tahun 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris.

“Di sini juga, beta banyak belajar tentang selok-belok pentadbiran negeri dan amat kagum dengan kepimpinan Harun.

“Beta juga masih ingat ketika menjadi Pemangku Raja Selangor pernah merasmikan istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bangunan ini,” titahnya.

Untuk rekod, Bangunan Sultan Abdul Samad mula dibina pada tahun 1894 sebagai pejabat kerajaan baharu negeri Selangor dan kemudiannya dijadikan ibu pejabat persekutuan selepas Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896.

Pembinaan bangunan itu mengambil masa selama dua tahun tujuh bulan dan dirasmikan pada 3 April 1987 semasa pemerintahan Sultan Selangor keempat, Almarhum Sultan Sir Abdul Samad yang merupakan nenda Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa dan bukan sahaja melibatkan Bangunan Sultan Abdul Samad, malah semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan negeri Selangor.

“Warisan sejarah bukan sekadar tinggalan masa lalu tetapi merupakan asas jati diri bangsa dan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN