PETALING JAYA – Kerja-kerja baik pulih sebuah tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin masih giat dijalankan, setakat petang ini.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan, susulan itu operasi tren di Laluan Ampang/Sri Petaling masih lagi mengalami kelewatan.
Menurutnya, pelan perkhidmatan alternatif yang diumumkan sebelum ini masih diteruskan sehingga tamat waktu operasi bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.
“Tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan empat minit, manakala tren dari Putra Heights pula berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan setiap enam minit.
“Selain itu, tren perantara turut disediakan antara Stesen Bandar Tasik Selatan dan Cheras di Platform 1 dengan kekerapan lapan minit,” katanya.
Rapid Rail turut menyediakan tren perantara antara Stesen Ampang dan Maluri di Platform 2 setiap enam minit selain tren perantara antara Stesen Maluri dan Chan Sow Lin di Platform 1B dan 2B setiap lapan minit.
“Tren perantara antara Stesen Cheras dan Pudu di Platform 1 turut disediakan dengan kekerapan lapan minit,” katanya.
Dalam pada itu, bas perantara ulang-alik percuma turut disediakan melibatkan laluan Hang Tuah, Pudu, Chan Sow Lin dan Cheras selain laluan Hang Tuah, Pudu, Chan Sow Lin, Maluri, Miharja dan Pandan Jaya.
Rapid Rail memaklumkan kekerapan bas perantara adalah sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.
“Para penumpang dinasihatkan menggunakan laluan rel alternatif atau mod pengangkutan lain termasuk Laluan Putrajaya dengan pertukaran tren di Stesen Sungai Besi bagi mengurangkan kesan kelewatan perjalanan,” katanya.
Menurutnya lagu, anggota polis bantuan, petugas stesen serta Rapid Troopers turut ditempatkan di platform dan ruang legar stesen bagi membantu pergerakan penumpang sepanjang tempoh gangguan.
Pagi tadi, Rapid Rail memaklumkan seramai 25 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat mengikut prosedur operasi ditetapkan setelah tren tersebut tidak dapat bergerak.
Menurut hantaran seorang pengguna @I.shzni di Thread, dia memuat naik beberapa keping gambar serta video memaparkan situasi yang dihadapinya pada pagi tadi.
“Punca LRT lambat hari ni. Laluan antara stesen Chan Sow Lin ke Cheras. Pukul 6.15 pagi ya kena macam ni,” tulisnya sambil memuat naik video dan gambar memaparkan pengguna terpaksa diturunkan dari tren dan berjalan di atas trek untuk proses pemindahan dijalankan. – KOSMO! ONLINE














