KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang individu dipercayai terjatuh dari sebuah menara di Jalan Ampang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian orang terjun di sebuah menara di Jalan Ampang.
“Ya, laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pengguna aplikasi Threads mendakwa melihat kejadian seorang individu terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Ampang.
Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika azan zuhur menyebabkan dia menggigil ketika memandu kenderaan di kawasan tersebut.
“Menggigil kaki masa bawa kereta, betul-betul nampak depan mata,” kata pengguna tersebut.
Kejadian itu turut dirakam menerusi kamera papan pemuka kenderaan individu terbabit sebelum tular dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE














