DI tengah suasana bandar yang semakin pesat berubah, sebuah bangunan warisan era kolonial di Sentul Depot kini diberi nafas baharu sebagai ruang gastronomi yang mengekalkan memori masa lalu.
Grumpy Bagels 1905 tampil bukan sekadar sebagai kafe bakeri, tetapi sebuah ruang yang mengangkat seni rekaan dalaman berteraskan warisan, tekstur asli dan material moden yang menyatu secara harmoni.
Menurut pengasasnya, Claire Tan, apa yang membezakan ruang ini ialah pendekatan reka bentuk yang tidak cuba menenggelamkan sejarah bangunan, sebaliknya menjadikan elemen asal sebagai naratif utama.
“Saya bersama pereka dari Poi Studio, memilih pendekatan yang menekankan kesinambungan antara lama dan baharu.
“Tiada kontras drastik, sebaliknya setiap unsur direka supaya seolah-olah berkembang secara semula jadi daripada struktur sedia ada,” katanya menerusi perkongsian di emel CitaRasa baru-baru ini.
Tambahnya, elemen tersebut yang menjadikan ruang berkenaan terasa seperti telah lama wujud, walaupun fungsinya telah berubah menjadi sebuah kafe bakeri moden.
Siling tinggi, dinding bata lama yang dibiarkan terdedah, struktur besi berpatina serta permukaan konkrit asal kekal menjadi sebahagian daripada identiti ruang.
Sentuhan moden hanya ditambah secara selektif agar keseluruhan suasana terasa jujur, matang dan penuh karakter.
Menerusi kerjasama dengan Cosentino Group sebagai rakan material khususnya dari segi pemilihan permukaan untuk elemen tertentu dalam ruang, turut menyepadukan permukaan khas mereka ke dalam reka bentuk itu.
Kongsinya lagi, tumpuan utama rekaan dalaman terletak pada dapur terbuka yang dianggap sebagai ‘jantung’ premis.
Berbeza dengan kebanyakan kafe yang menyembunyikan ruang kerja, Grumpy Bagels 1905 menjadikan dapur sebahagian daripada pengalaman visual.
“Kaunter kerja dibina menggunakan permukaan Dekton dalam kemasan Nacre, menyerupai batu semula jadi dengan tona lembut dan tekstur yang serasi dengan bata lama di sekelilingnya.
“Material ini dipilih bukan sahaja kerana ketahanan terhadap haba, kelembapan dan calar, tetapi juga kerana estetikanya yang tenang serta tidak menyaingi karakter asal bangunan,” ujarnya.
Katanya lagi, rekaan dalaman ruang ini menunjukkan satu prinsip penting dalam seni hiasan kontemporari iaitu bahan moden tidak semestinya perlu kelihatan menonjol untuk dianggap mewah, sebaliknya, penggunaan permukaan berinspirasikan travertine menjadikan ruang lebih seimbang, Ini kerana ia memberi ilusi bahan semula jadi tanpa menjejaskan kepraktisan.
Peralihan antara dinding bata kasar, rangka besi tua dan permukaan licin mencipta lapisan visual yang kaya, menjadikan setiap sudut sesuai untuk diterokai.
Menariknya, falsafah rekaan yang sama diteruskan sehingga ke ruang tandas. Dalam banyak premis komersial, tandas sering menjadi ruang yang dipinggirkan dari segi estetika.
Namun di sini, ia dirancang sebagai sambungan visual kepada ruang utama. Tona hangat, pencahayaan lembut dan penggunaan permukaan Dekton Nebbia pada singki menjadikan ruang kecil itu terasa seperti sebahagian daripada naratif keseluruhan bangunan.
“Pendekatan ini menunjukkan bahawa pengalaman ruang bukan hanya bergantung kepada kawasan utama yang dilihat pelanggan, tetapi juga ruang peralihan yang sering dianggap sekunder.
“Setiap permukaan, sudut dan tekstur di Grumpy Bagels 1905 dipilih dengan niat yang jelas iaitu untuk mengekalkan rasa nostalgia sambil memenuhi keperluan operasi moden,” tambah Claire.














