PONTIAN – Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 menjadi platform penting dalam mengangkat warisan kulinari Johor ke tahap lebih tinggi sehingga mampu membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap keunikan budaya di negeri ini.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, gastronomi bukan sekadar makanan, malah merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang membawa identiti, sejarah dan nilai kehidupan masyarakat.
Menurut beliau, Johor memiliki pelbagai khazanah makanan tradisional yang unik dan mempunyai potensi besar untuk diperkenalkan kepada pelancong tempatan serta luar negara.
“Program seperti ini bukan sahaja menghimpunkan masyarakat, malah menjadi medan untuk memperkenalkan budaya makanan tradisional kepada dunia.
“Warisan kulinari yang kita miliki perlu dipelihara kerana ia mencerminkan identiti masyarakat dan sejarah sesuatu tempat,” katanya selepas merasmikan Program Komuniti ‘Meh Lah Pontian: Kelana Keringat’ sempena FHMAPK 2026 di Pusat Rekreasi Tampok Laut, di sini semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pelbagai hidangan tradisional Johor seperti kacang pool, lontong darat, sate, soto, mi bandung, burasak dan telur pindang mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh menjadi daya tarikan pelancongan.
Katanya, setiap daerah di Johor mempunyai identiti makanan tersendiri yang menggambarkan budaya dan kehidupan masyarakat setempat.
“Apabila pelancong datang ke sesuatu tempat, mereka bukan hanya mahu melihat lokasi menarik, tetapi juga ingin merasai sendiri pengalaman budaya termasuk makanan tradisional yang menjadi identiti kawasan itu.
“Sebab itu usaha mempromosikan gastronomi perlu terus diperkasakan kerana ia berpotensi menjadi produk pelancongan yang mampu menarik perhatian masyarakat luar,”ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran festival berkenaan juga memberi peluang kepada komuniti setempat memperkenalkan produk makanan dan budaya mereka kepada pengunjung dari pelbagai latar belakang.
Beliau berkata, usaha berterusan antara agensi kerajaan, institusi warisan dan masyarakat amat penting bagi memastikan warisan kulinari Johor terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.














