JELI – Seorang tekong darat yang membawa lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh gagal meloloskan diri daripada ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi semasa anggota PGA menjalankan rondaan rutin sebelum mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan PATI sebelum mengekori kereta tersebut dari Jalan Raya Timur-Barat di sini.
Katanya, tekong darat itu bertindak memecut laju selepas menyedari kereta yang dia pandu diekori anggota PGA.
“Kereta tersebut bagaimanapun terbabas semasa tiba di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual di sini.
“Pemeriksaan mendapati, kereta itu dipandu seorang lelaki yang membawa seramai lapan PATI warga Bangladesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, selain itu, anggota PGA turut menjumpai sebanyak 10 biji pil kuda di dalam kereta tersebut.
Menurutnya, tekong darat dan kesemua PATI itu dibawa untuk rawatan lanjut di Hospital Jeli di sini dengan menaiki ambulans.
Tambahnya, kesemua suspek akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini untuk tindakan lanjut selepas urusan rawatan di hospital. – KOSMO! ONLINE














