KUALA LUMPUR – Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap pembantu kedai.
Tertuduh yang berusia 36 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 24 tahun di Taman Bamboo, Off Jalan Ipoh di Sentul di sini pukul 6.20 petang, pada 22 Mei lepas.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Erickka Farrise Amir yang mewakili tertuduh, memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
“Anak guam saya masih belum berkahwin, dia menjaga ibu bapanya yang sudah uzur. Mohon supaya jaminan dibenarkan,”katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis serta tidak mengganggu saksi dan mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Jun ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














