PONTIAN – Nenek Nathiah Selamat yang dijumpai pagi tadi telah ditemui oleh seorang pekerja Indonesia yang terdengar suara wanita itu meminta pertolongan semasa melawat kebun kelapa sawit.
Menurut seorang penduduk, Mohamed Suib Kamso, 50, pada mulanya pekerja Indonesia tidak dapat memastikan dari mana datangnya suara tersebut, namun telah beberapa minit baru dia menyedari suara nenek Nathiah berada berhampiran.
Katanya, selepas menemui Nathiah, pekerja dikenali sebagai Wak Indon kemudiannya berlari menuju kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang tidak jauh berada di lokasi tersebut bagi mendapatkan pertolongan.
“Pada mulanya Nathiah dalam keadaan kebingungan ketika dijumpai sebelum pekerja asing tersebut memberikan minuman, barulah nenek tersebut menceritakan bahawa dia berjalan bersama-sama kanak-kanak kecil.
“Nathiah juga menceritakan dia berada di lokasi tersebut dan tertidur selama dua malam semasa kehilangannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin seorang wanita warga emas yang hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.
Mangsa, Nathiah Selamat, 77, dijumpai penduduk kira-kira pukul 10.50 pagi tadi kira-kira 2.4 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum dihantar ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan.-KOSMO! ONLINE














