SEREMBAN – Negeri Sembilan melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) dua hari seminggu bagi penjawat awam negeri, berkuat kuasa 15 April ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaannya membabitkan hari Selasa, Rabu atau Khamis dengan pegawai perlu memilih dua hari daripada tiga hari dinyatakan.
Katanya, kemudahan itu diberikan kepada pegawai yang mempunyai jarak perjalanan sehala melebihi lapan kilometer dari rumah ke pejabat, manakala semua penjawat awam diwajibkan hadir secara fizikal pada Isnin dan Jumaat.
“Pelaksanaan ini merangkumi semua jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri dengan melibatkan dua sektor utama iaitu Sektor Pengurusan & Pentadbiran dan Sektor Operasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini semalam.
Beliau berkata, bagi sektor pengurusan dan pentadbiran seperti kewangan, pentadbiran dan sumber manusia, keputusan BDR tertakluk kelulusan ketua jabatan manakala bagi sektor operasi, pelaksanaan dibuat secara penggiliran bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan berada di pejabat atau lapangan setiap hari.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan itu tidak melibatkan sektor kritikal seperti pertahanan dan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bomba, selain sektor kesihatan serta pendidikan yang membabitkan sesi persekolahan.- KOSMO! ONLINE














