PENGALAMAN dalam bidang bola sepak bukanlah kriteria mandatori yang harus dimiliki oleh mana-mana individu jika berhasrat untuk mengetuai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menawarkan diri bagi merebut jawatan Presiden FAM berkata, tugas melonjakan sukan itu tidak hanya tertumpu kepada presiden secara bersendirian.

“Saya menghormati semua pendapat kata saya tidak berpengalaman, tidak boleh buat apa-apa. Tetapi, kita kena tengok diri kita, bila kita cakap ini tak pengalaman, tak bagus, apa kita yang bagus? Bolehkah kita menyumbang?
“Saya bukan nak cakap di mana Majlis Paralimpik Malaysia sekarang, siapa yang buat pingat emas Paralimpik itu? Ia adalah seluruh ekosistem, kami (MPM), kementerian, kita (semua) mengharumkan nama negara.
“Jadi, orang-orang yang cakap saya tidak cukup pengalaman, tidak payah risau. Kamu datang bersama saya, bantu saya, kita selesaikan benda ini dan buktikan kita boleh berjaya bersama.
“Apa yang penting semua orang kena tahu nilai dia sebagai ahli gabungan itu apa. Kalau kita salah pilih, kita semua salah, kalau kita pilih longkang, kita semua ke longkang,” katanya.
Megat D Shahriman menjelaskan sekarang bukan masanya untuk mencari kelemahan kerana misi semua orang adalah sama iaitu menggembeling tenaga dan mencari idea lebih segar bagi membantu bola sepak negara.
Rentetan itu, keseluruhan aspek membabitkan pengalaman teknikal dan pengurusan perlu digabungkan kerana ia boleh menjadi kunci utama dalam usaha mengembalikan imej bola sepak Malaysia.
“Saya menjemput semua peminat, Ultras ke, ‘Ultraman’ ke, apa juga peminat di luar sana, mari kita lakukannya .Kita tak nak jadi ‘keyboard writers’, kita buat sama-sama,” katanya.














