PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran mengambil pendekatan lebih terbuka bagi memulihkan hubungan dengan kumpulan penyokong, Ultras Malaya sekali gus mengembalikan semula kepercayaan penyokong terhadap Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin berkata, keputusan Ultras Malaya untuk melakukan boikot boleh menjadi tamparan besar memandangkan kumpulan itu selama ini memainkan peranan penting membakar semangat pemain di stadium.
“Sejak beberapa tahun lepas aura stadium bertambah hebat kerana sokongan peminat dan skuad kebangsaan memang tidak boleh dipisahkan dengan Ultras Malaya.
“Saya rasa keputusan boikot ini boleh jadi satu tamparan hebat buat skuad negara apabila mengharungi perlawanan antarabangsa di laman sendiri nanti.
“Harap FAM dapat mencari jalan terbaik untuk memujuk penyokong kembali datang ke stadium selain mendengar keluhan mereka.
“Pihak yang berkepentingan juga perlu buat keputusan terbaik demi masa depan Harimau Malaya,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, Ultras Malaya melancarkan boikot fasa satu pada 1 Mei lepas dengan membangkitkan pelbagai isu lama yang dilihat terus berulang tanpa penyelesaian tuntas dengan tiga tuntutan utama.
Kemudian, Ultras Malaya mengeluarkan satu lagi kenyataan awal minggu ini untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai gerakan ‘Kembalikan Bolasepak Kepada Rakyat’ (KBSKR).
Menurut kenyataan tersebut, gerakan berkenaan bukan bertujuan merampas kuasa atau mengambil alih kepimpinan bola sepak negara, sebaliknya mahu melihat perubahan menyeluruh dari aspek tadbir urus.
Ultras Malaya turut mengingatkan bahawa setiap kuasa yang dimiliki dalam ekosistem bola sepak perlu disertai dengan tanggungjawab yang jelas serta telus.














