KUMPULAN penyokong tegar skuad Harimau Malaya, Ultras Malaya mengumumkan tindakan drastik untuk memboikot semua perlawanan melibatkan skuad kebangsaan sebagai tanda protes terhadap beberapa isu utama yang masih belum selesai sehingga kini.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi, Ultras Malaya menegaskan tindakan boikot terpaksa dibuat selepas meneliti pelbagai aspek serta mengambil kira tuntutan yang sebelum ini telah dikemukakan kepada umum pada 13 April lalu.
Kata kenyataan tersebut, tiga tuntutan utama yang dibangkitkan ialah penarikan semula kerakyatan tujuh pemain, pengembalian pengurusan Harimau Malaya kepada badan induk serta reformasi menyeluruh bola sepak Malaysia.
“Sehubungan itu, kami telah mencapai kata sepakat untuk melaksanakan boikot Fasa 1, iaitu memboikot semua perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan serta-merta.
“Kami memberikan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 kepada pihak berkaitan untuk memenuhi dan melaksanakan ketiga-tiga tuntutan tersebut, demi memastikan bola sepak Malaysia bebas daripada kepentingan sempit, kelemahan tadbir urus serta kerosakan sistem yang berpanjangan,” katanya.
Sementara itu, Ultras Malaya turut mengancam boikot keseluruhan ekosistem Liga Malaysia jika tuntutan mereka tidak diendahkan.
“Kami menegaskan bahawa perjuangan ini adalah demi memastikan bola sepak Malaysia dibina atas asas yang telus, adil, berstruktur dan berintegriti.
“Tindakan ini bukan didorong oleh kebencian terhadap pasukan kebangsaan mahupun mana-mana pihak, sebaliknya merupakan usaha untuk menjamin masa depan bola sepak Malaysia yang lebih berwibawa, tersusun dan bertanggungjawab,” kata kenyataan itu lagi.
Skuad negara kendalian Peter Cklamovski bakal mengharungi jadual padat memandangkan kalendar antarabangsa akan dibuka semula pada Jun depan selain mengharungi aksi Piala ASEAN bermula Julai nanti.














