BERUAS – Seorang wanita maut manakala tiga yang lain cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), dari arah Kampung Kayan, Sitiawan menghala ke Teluk Intan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan berkenaan pada pukul 7.38 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dinaiki seorang lelaki dan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua wanita dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).
“Pemandu Axia berusia 40-an mengalami kecederaan parah namun telah keluar dari kenderaan manakala pemandu kereta Perodua Myvi berusia 31 tahun pula tersepit di bahagian pemandu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ketua operasi yang tiba di lokasi segera melakukan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep ‘saver’ sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan pengusung.
Katanya, pemandu Perodua Myvi yang tersepit mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Dua lagi mangsa iaitu wanita warga emas berusia 65 tahun, mengalami kecederaan di kepala dan patah tulang paha manakala lelaki OKU berusia 27 tahun yang berada di bahagian penumpang belakang cedera di kepala.
“Semua mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.
Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 9.14 pagi. – KOSMO! ONLINE














