NEW DELHI – Sembilan anggota dan pegawai polis di India dijatuhi hukuman mati berhubung kematian seorang bapa dan anaknya semasa dalam tahanan pada tahun 2020, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
P Jeyaraj, 58 dan anaknya Benicks, 38, meninggal dunia dalam penjara di negeri Tamil Nadu, selatan India.
Mereka mati beberapa hari selepas ditahan kerana didakwa membuka kedai telefon bimbit sekali gus melanggar perintah berkurung semasa pandemik Covid-19.
Pakaian anak beranak itu ditanggalkan sebelum mereka dibelasah dengan kejam, kata hakim ketika menjatuhkan hukuman semalam, menggambarkan kes itu sebagai salah guna kuasa kuasa yang jelas.
“Mereka (tertuduh) melakukannya dengan niat membunuh.
“Mereka menyerang orang tidak bersenjata, mereka tidak patut diampunkan. Mereka tidak patut diberi hukuman lebih ringan berdasarkan usia atau latar belakang keluarga,” kata hakim.
Seramai 10 anggota polis secara keseluruhan ditahan berhubung kes tersebut tetapi seorang meninggal dunia akibat Covid-19 pada tahun 2020.
Kejadian itu mencetuskan protes di Tamil Nadu, dengan ahli-ahli parlimen pembangkang juga turun ke jalanan.
Menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia, beratus-ratus orang meninggal dunia ketika dalam tahanan di India setiap tahun, menunjukkan polis menggunakan penyeksaan dan penderaan untuk mendapatkan pengakuan suspek.- AGENSI














