JERANTUT – Kegembiraan dua remaja mandi bersama rakan bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Durian Hijau di sini, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, dan rakannya, Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.49 petang.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dengan menaiki sebuah jentera dan tiba pada pukul 5.23 petang.
“Maklumat awal daripada orang awam memaklumkan terdapat dua remaja lelaki berusia lingkungan 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakan mereka di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE














