Tapah menjadi top list ikan yang ingin dipancing oleh saya dengan gewang. Setelah beberapa trip ke merata sungai, akhirnya impian saya tertunai di Sungai Tengi, Selangor.
Mengalir merentasi dataran pesisir barat Selangor, Sungai Tengi merupakan antara sistem sungai penting di negeri ini dengan panjang kira-kira 61 kilometer (km).
Sungai ini berpunca dari kawasan tanah tinggi di Hulu Selangor sebelum mengalir ke arah barat dan berakhir di muara berhampiran Tanjung Karang.
Lembangan Sungai Tengi meliputi kawasan sekitar 296 kilometer persegi serta mempunyai hubungan rapat dengan sistem pengairan di pesisir utara Selangor.
Keistimewaan Sungai Tengi terletak pada kaitannya dengan Sungai Bernam, sungai terbesar di Selangor yang menjadi sumber utama bekalan air dan pengairan sawah padi di Sabak Bernam.
Melalui rangkaian terusan dan saliran yang dibangunkan sejak era penanaman padi moden, air dari lembangan kedua-dua sungai ini membantu menyuburkan jelapang padi serta menyokong kehidupan komuniti setempat.
Bagi penduduk sekitar, sungai ini adalah nadi yang menggerakkan ekonomi, pertanian dan tradisi masyarakat desa yang telah berkembang sejak beberapa generasi.

Bagi pemancing pula, Sungai Tengi dikenali sebagai antara kubu terakhir ikan tapah liar, menjadikannya perairan yang cukup bernilai dari sudut sukan rekreasi dan pemuliharaan alam sekitar.
Trip uji lapangan
Saya berkesempatan turun mengilat di Sungai Tengi bersama sahabat penulisan Gewang, Firdaus Shahrudin untuk membuat sedikit ujian di lapangan.
Ini merupakan kali pertama saya turun memancing di Sungai Tengi, walaupun kerap berkunjung di kawasan sekitar sini.
Hanya terdapat seorang tekong yang menawarkan perkhidmatan membawa pemancing di sini iaitu Adzril Jaapar.
Sasaran utama trip ini sudah semestinya ikan tapah, spesies yang menjadi sasaran utama saya sejak sekian lama.
Pemanduan dari Kuala Lumpur menuju ke jeti Ban Cannal langsung tidak terasa, mungkin kerana perasaan teruja kami berdua membuatkan perjalanan terasa singkat.
Kami bertolak dari Kuala Lumpur seawal pukul 5 pagi, hujan renyai mengiringi sepanjang perjalan menuju ke lokasi yang terletak hampir 103km jaraknya.
Sebaik tiba di jeti, tekong sudah bersedia menunggu di dalam botnya.
Kami terus bergerak ke arah hulu sungai yang mengambil masa hampir setengah jam. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan keindahan hutan simpan Raja Muda Musa.
Cuaca mendung dan sedikit berkabus kerana hujan masih lagi bersisa, namun tidak selebat seperti sebelumnya.

Setiba di lokasi pertama, kelihatan paras air agak tinggi dengan warna yang keruh. Kebiasaannya, air di sungai ini berwarna hitam kerana habitat gambut jika bukan musim hujan.
Menurut tip daripada pemancing berpengalaman, penting untuk menggantikan mata tiga gewang dengan yang lebih lasak supaya tidak berputih mata ketika memburu ikan tapah.
Juga disarankan menggunakan gewang selaman dalam berwarna kontras dengan air sungai yang menghasilkan bunyi getaran (rattling), kerana sangat efektif untuk menggoda ikan tapah.
Jadi, kami memilih gewang jenis selaman dalam dengan profil warna terang seperti warna pelangi dan merah jambu. Gewang Hinomiya HF deep crank 75mm berat 12 gram (g) dan Storm Smash Shad 7mm berat 11g.
Mengikut nasihat mereka lagi, gewang harus disasarkan ke tepi kawasan berumput yang terapung kerana ia menjadi tempat persembunyian buat ikan ini.
Ketukan pertama
Saya guna joran jenis kembara (multi-pieces) Rentaka Move 6-17lb, tali utama 4X sulaman berkekuatan 25lb. Firdaus pula memilih joran heavy cover Baretta 12-25lb dengan tali utama berkekuatan 40lb.
Beberapa kali melontar gewang, ketukan pertama diperolehi Firdaus, namun sedikit kealpaan membuatkan ikan terlepas.
Dari kuak air yang dihasilkan, saya kuat merasakan ikan tersebut bersaiz besar.
Kami bertiga agak tergamam kerana masing-masing belum lagi bersedia untuk menghadap kejutan awal.
Tambahan pula, jam menunjukkan pukul 8.30 pagi, kami mengagak tapah keluar agak lewat, ternyata meleset.
Berhanyut
Kami menyusuri sepanjang sungai dalam keadaan senyap tanpa menghidupkan enjin, hanya dayung mengemudi arah, sebarang bunyi yang dihasilkan daripada enjin bot akan membuatkan ikan tapah menjadi culas.
Balingan ke arah tebing sungai sekali lagi menghasilkan sambaran, gewang saya disambar rakus. Namun yang naik hanyalah seekor ikan sebarau anggaran saiz 800 gram.
Tidak berputus asa, kami menyambung sesi berhanyut ke arah hilir. Lontaran gewang selepas itu kerap menghasilkan getuan, namun kesemuanya memberikan harapan palsu. Ikan sasaran, masih belum dijumpai.
Tapah idaman
Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi, langit masih lagi mendung dengan hujan renyai mengiringi kami sepanjang berhanyut menyusuri sungai. Gewang ditukar bersilih ganti, namun tiada sambaran.
Kami sempat bertanyakan kepada tekong bagaimana gaya ikan tapah menyambar gewang. Menurutnya, ‘ketukan’ daripada tapah sedikit berlainan, kebiasaannya getuan tapah akan dirasai sebanyak dua kali, jarak masa antara getuan sangat singkat, dan getuan kedua selalunya menghasilkan strike.
Selang beberapa ketika, gewang Hinomiya HF berwarna pelangi saya yang dilontar pada rimbunan rumput di tepi tebing terasa disambar rakus secara tiba-tiba, melenturkan joran.
Saya berdoa di dalam hati supaya sambaran kali ini merupakan ikan sasaran dicari. Detik ini amat kritikal kerana diketahui ikan tapah gemar membenam ke arah sarang persembunyiannya usai menyambar gewang.
Jika berjaya menghalangnya ke arah tebing yang penuh dengan rumput dan lalang, peratusan untuk menaikkan tapah akan menjadi lebih tinggi.
Akhirnya, ikan tersebut berjaya dikekang dan dinaikkan, walaupun hanya bersaiz 2.15kg, namun ia tetap menghadirkan debaran dan perlawanan mencabar.
Sesi mengilat diteruskan lagi dengan harapan ada ikan tapah bersaiz lebih kasar sudi dengan gewang. Namun, kami hanya dapat tambahan dua ekor ikan baung bersaiz kecil.
Walaupun saiz tapah yang berjaya dinaikkan tidaklah sebesar mana, namun pengalaman menewaskannya di habitat semula jadi seperti Sungai Tengi memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
Dalam keadaan air keruh, cuaca tidak menentu dan sambaran yang datang tanpa amaran, setiap detik di atas bot mengajar kami erti kesabaran serta keyakinan terhadap pilihan gewang.
Sungai Tengi masih menyimpan banyak rahsia yang belum terungkai. Selagi alirannya terus menghidupkan ekosistem perairan ini, selagi itulah impian untuk bertemu ikan tapah yang lebih besar akan terus memanggil kami untuk kembali.














