fbpx
Anthony meninjau kemajuan stesen RTS Link bagi fasa ujian dan pentaulihan ketika melawat Stesen RTS Link di Bukit Cagar, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

Krisis Asia Barat tidak jejaskan kos RTS Link Malaysia-Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Krisis geopolitik melibatkan konflik di Asia Barat termasuk ketegangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tidak menjejaskan kos pembangunan projek RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini kerajaan tidak menerima sebarang permintaan daripada kontraktor berhubung kenaikan kos projek berkenaan.

“Walaupun berlaku turun naik harga bahan mentah susulan ketidaktentuan global termasuk isu harga minyak, projek itu masih berjalan mengikut perancangan asal. Setakat ini kita (Kementerian Pengangkutan) belum dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan kos. Kita yakin kos projek masih dapat dikawal dan tidak terjejas dengan situasi semasa,” katanya pada lawatan kerja ke tapak stesen RTS Link di Bukit Chagar, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan semasa, Anthony berkata, kemajuan projek kini berada pada tahap hampir siap bagi kerja-kerja fizikal termasuk struktur utama stesen dan kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).

Katanya, tren juga telah mula memasuki stesen, manakala pemasangan pintu penumpang serta pelbagai komponen utama lain telah disiapkan.

“Bangunan CIQ pula hampir siap sepenuhnya dengan pemasangan e-gate, mesin pengimbas bagasi serta sistem saringan keselamatan sedang giat dijalankan,”ujarnya.

Menurut beliau, sebanyak 10 lorong saringan keselamatan, 18 unit mesin pengimbas bagasi dan 100 laluan laluan automatik (e-gate) telah disediakan bagi melancarkan pergerakan penumpang kelak.

Tambahnya, ruang pejabat untuk agensi terlibat juga telah lengkap dengan kemudahan asas termasuk sistem pendingin hawa, malah sebahagian pegawai sudah mula membuat persiapan awal untuk beroperasi.

Dalam pada itu, Anthony memaklumkan projek kini memasuki fasa paling kritikal iaitu pengujian dan pentauliahan (testing and commissioning) melibatkan integrasi sistem.

“Fasa ini melibatkan ujian sistem tren, isyarat, operasi serta integrasi keseluruhan sebelum kita beralih ke peringkat Final Field Readiness (FFR) yang dijangka bermula September ini,”katanya.

Menyentuh mengenai harga tiket, beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian syarikat operasi RTS Link (RTSO) yang sedang menjalankan kajian pasaran bagi menentukan kadar tambang sesuai.

Menurutnya, sebarang keputusan berhubung struktur tambang perlu mengambil kira sifat perkhidmatan itu sebagai sistem pengangkutan antarabangsa serta aspek daya maju komersial.

“RTSO merupakan syarikat usaha sama Malaysia dan Singapura, jadi mereka perlu memastikan operasi ini mampan dari segi kewangan tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak kemungkinan memperkenalkan pas perjalanan (season pass) khusus untuk rakyat tempatan, tertakluk kepada pertimbangan komersial dan kelulusan kedua-dua negara.

“Jika ada subsidi, ia hanya melibatkan rakyat Malaysia sahaja, manakala keputusan muktamad mengenai tambang akan diumumkan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa seperti APAD dan LTA Singapura,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited memastikan RTS Link dibuka kepada orang ramai pada Januari 2027, sekali gus menjadi penyelesaian utama kesesakan trafik antara Johor Bahru dan Singapura. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN