PUTRAJAYA- Kerajaan memberi jaminan kira-kira 85 peratus pengguna domestik di negara ini tidak akan terkesan dengan sebarang pelarasan kos elektrik, meskipun landskap tenaga dunia kini berdepan dengan tekanan peningkatan kos operasi yang ketara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berikutan rata-rata penggunaan elektrik domestik adalah di bawah 600 kilowatt sebulan.
“Tak ada kenaikan. Yang saya maksudkan kos akan naik disebabkan bekalan dunia ini terkesan. Bila terkesan, logistik naik, maknanya barangan akan berlaku kenaikan.
“Tapi kos elektrik kita dah memberi jaminan bahawa untuk 85 peratus rakyat tidak akan terkesan, sebab itu memang dijamin oleh kerajaan, jadi itu akan tetap kita kekalkan.
“Mungkin ada lah kenaikan, ada beberapa industri lain, sektor lain, mungkin ada terkesan sedikit tapi kita sedang menilai, melihat keseluruhannya,” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan inisiatif Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bulan Mei 2026 di sini hari ini.
Fadillah bagaimanapun berkata, bagi pengguna yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowatt, berkemungkinan terdapat sedikit pelarasan.
“Mungkin adalah kenaikan, mungkin ada beberapa industri lain, sektor lain, mungkin ada terkesan sikit, tapi kita sedang menilai, melihat keseluruhannya.
“Yang menggunakan tenaga 600 kilowatt ke bawah tak terkesan. Siapa guna lebih 600 kilowatt, itu akan ada ‘adjustment’ (pelarasan) sikit. Tapi tidak berapa beratlah kalau ada pun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














