PETALING JAYA – Pengguna pengangkutan awam diingatkan supaya kekal beradab dan tidak melepaskan kemarahan terhadap petugas tren jika berlaku kelewatan atau gangguan perkhidmatan.
Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail), Nor Azmi Mohd. Yusof berkata, para pengguna tidak perlu berkasar, sebaliknya ikut arahan yang diberikan kerana masalah yang berlaku itu bersebab.
“Walaupun hanya segelintir yang bersikap demikian, besar harapan saya kiranya pengguna memahami kepayahan yang kami hadapi dan beri kerjasama terutamanya ketika proses menyelamat berlangsung.
“Walaupun mungkin berlaku kelewatan, itu tidak mengapa kerana keselamatan penumpang tidak boleh dikompromi kerana setiap prosedur kami patuhi dengan ketat,” katanya selepas sesi taklimat media mengenai perkhidmatan dan penambahbaikan laluan Kelana Jaya di Kompleks Rapid Rail di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan terdapat kes melibatkan para petugas Rapid Rail antaranya pegawai transit, pengurus stesen, polis bantuan dimaki, diherdik malah ada yang diludah apabila berlaku kelewatan tren.
Menurutnya, semua pekerja Rapid Rail perlu dihargai kerana mereka juga bekerja keras dalam memastikan sistem pengangkutan berkenaan sentiasa berjalan lancar.
“Mereka juga bekerja keras mencari rezeki dan perlu dihargai kerana mereka membantu memudahkan sistem pengangkutan awam yang digunakan oleh rakyat, bukan untuk kegunaan peribadi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














