PUTRAJAYA- Kementerian terlibat diminta mengambil tindakan tegas berhubung kes seorang guru wanita yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu amat membimbangkan memandangkan kebanyakan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak lazimnya dikaitkan dengan pelaku lelaki, namun kali ini melibatkan seorang wanita.
“Saya juga terkejut. Saya mempunyai perasaan bercampur-baur kerana saya sendiri seorang ibu dan nenek.
“Kami amat prihatin mengenai perkara seperti ini dan berharap kementerian atau agensi berkaitan, termasuk kementerian tempat individu itu bekerja, mengambil tindakan lebih tegas,” katanya ketika sidang media Majlis Penyertaan Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di sini, hari ini.
Nancy bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu mengulas panjang mengenai kes itu kerana maklumat yang tular di media sosial belum tentu tepat dan perlu dipastikan kesahihannya mengikut undang-undang.
“Daripada apa yang saya baca di media sosial, kadang-kadang tidak semuanya benar kerana kita perlu memastikan apa yang diperkatakan di media sosial benar-benar mengikut undang-undang. Sebab itu saya tidak berani mengulas lebih lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kes berkenaan tidak diketepikan tanpa tindakan sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada mangsa yang masih kanak-kanak.
“Tetapi saya berharap mereka tidak mengetepikan kes ini dan sekadar menyimpan individu tersebut tanpa tindakan.
“Mereka perlu melakukan sesuatu kerana perkara ini sangat tidak baik untuk kanak-kanak terbabit.
“Ia pengalaman buruk dan saya tidak tahu bagaimana ia akan menjejaskan masa depannya kerana dia masih kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu, seorang guru wanita didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














