KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu termasuk seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan hutang berjumlah RM20,000 di sekitar Sentul Raya, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, kejadian berlaku pada kelmarin kira-kira pukul 1 tengah hari.
Menurut beliau, setakat ini seramai empat suspek terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
“Kesemua suspek direman selama dua hari dan tempoh reman akan berakhir hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada masalah hubungan peribadi selain isu hutang berjumlah RM20,000.
“Siasatan juga mendapati kesemua suspek saling mengenali dan mempunyai hubungan peribadi sebelum ini,” ujarnya.
Tambah beliau, polis turut mengenal pasti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan serta menahan mereka sedang giat dijalankan.
“Kesemua tangkapan dilakukan di kawasan Sentul dan polis akan mengambil tindakan lanjut terhadap individu yang terlibat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














